Nasihat Luqman Al-Hakim

Hai anakku,
sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan
yang dalam dan banyak manusia
yang karam di dalamnya.
Bila engkau ingin selamat,
agar jangan karam,
layarilah lautan itu dengan sampan
yang bernama takwa,
isinya ialah iman
dan layarnya ialah tawakkal kepada Allah

Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya
untuk menerima nasihat,
yakin dirinya akan mendapat
penjagaan daripada Allah S.W.T.
Orang yang insaf dari kesalahan
setelah menerima nasihat daripada orang lain,
dia akan sentiasa menerima
kemuliaan dari Allah S.W.T. jua.

Hai anakku!
Orang yang merasa dirinya
lebih rendah di dalam beribadah
dan taat kepada Allah,
maka orang itu akan sentiasa
tawaduk kepada Allah,
dia akan lebih dekat kepada Allah
dan sentiasa menghindarkan dirinya
daripada melakukan maksiat.

Jauhilah dirimu dari berhutang,
kerana sesungguhnya
berhutang itu akan menjadikan dirimu hina di waktu siang dan hina di waktu malam.


Hai anakku!
Bila engkau menghadapi dua pilihan,
menziarahi orang mati atau
menghadiri mailis perkahwinan,
maka hendaklah engkau memilih
menziarahi orang mati.
Sebab menziarahi orang mati itu
akan mengingatkan kamu kepada akhirat,
sedangkan menghadiri majlis perkahwinan itu
hanyalah akan mengingatkan kamu
kesenangan duniawi sahaja.
Janganlah engkau makan atau minum
yang berlebihan, kerana
sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu
akan merosakkan diri dan pemikiranmu,
dan alangkah baiknya makanan yang lebih itu
diberikan kepada anjing sahaja.

Hai anakku!
Bukanlah suatu kebaikan namanya
apabila engkau selalu mencari ilmu
tetapi tidak engkau mengamalkannya.
Hal itu tidak ubahnya
seperti orang yang mencari kayu api,
setelah banyak terkumpul maka
dia tidak mampu memikulnya padahal
dia masih terus mengumpulkannya.

Hai anakku!
Apabila engkau ingin mencari teman sejati,
maka ujilah terlebih dulu
dengan perkara yang menaikkan kemarahannya.
Bilamana dalam kemarahan itu
dia masih berusaha untuk menginsafkan engkau,
maka bolehlah engkau ambil sebagai kawan,
dan sekiranya bukan demikian maka
berhati-hatilah engkau terhadapnya.
Perbaikkanlah tutur katamu,
halus budi bahasamu dan manis wajahmu,
kerana engkau akan disukai orang
yang melebihi sukanya terhadap orang lain
yang pernah memberikan barang yang berharga kepadanya.


Hai anakku!
Apabila engkau berteman,
jadikanlah dirimu orang yang
tidak pernah mengharapkan daripadanya.
Namun biarlah dia mengharapkan
sesuatu daripadamu.
Jagalah dirimu dalam setiap perkara
sebagai seorang yang tidak
berhajatkan kepada pujian atau
sanjungan dari orang lain, kerana
penguasaannya itu akan menyebabkan
diri kamu beroleh.

Hai anakku!
Usahakanlah agar mulutmu
jangan mengeluarkan kata-kata
busuk, kotor dan kasar kerana engkau
akan lebih selamat apabila berdiam diri.
Kalau berbicara,
usahakanlah agar dirimu akan
mendatangkan manfaat
kepada orang lain.

Hai anakku!
Janganlah engkau cenderung kepada dunia
semata-mata dan hatimu
jangan disibukkan dengan urusan dunia semata-mata,
kerana engkau diciptakan Allah
bukannya untuk urusan dunia sahaja.
Tidak ada orang yang
lebih hina melainkan orang yang
terpedaya dengan dunia semata-mata.

Hai anakku!
Janganlah engkau terlalu mudah ketawa
kalau bukan perkara yang menggelikan,
jangan engkau berjalan tanpa tujuan pasti,
janganlah engkau menanyakan sesuatu
yang tidak ada gunanya bagi diri kamu
dan janganlah engkau mensia-siakan
harta dunia kamu.

Barangsiapa yang penyayang,
sudah tentu akan disayang, siapa yang
suka berdiam diri sudah tentu akan
selamat daripada berkata-kata tentang
perkara yang mengandungi racun,
dan barangsiapa yang tidak mampu menahan
lidahnya daripada berkata kotor,
sudah tentu akan menyesal.

Hai anakku!
Bergaul mesralah dengan orang alim dan berilmu.
Perhatikanlah kata-kata dan nasihatnya kerana
sesungguhnya akan sejuk hati
kamu mendengar nasihatnya,
hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah
dari mutiara kata alim ulama
bagaikan tanah yang subur disirami air hujan.

Hai anakku!
Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu,
dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk akhirat.
Jangan engkau tendang dunia ini
ke bakul sampah,
kelak diri kamu akan menjadi pengemis
yang membebankan orang lain.
Sebaliknya jangan engkau rangkul dunia ini
dan meneguk habis kerana
sesungguhnya semua yang engkau makan
dan pakai itu adalah tanah belaka.
Jangan engkau bertemankan orang bodoh
dan orang yang bermuka dua,
kerana akan aniayakan diri kamu.

Wallahu'alam.

0 comments:

Post a Comment

KEHEBATAN SAF PERTAMA DAN AZAN

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.”

(Hadis riwayat Bukhari).

DI MANA SAF ANDA??

“Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.”

(Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

PENUHKAN SAF

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.”

(Hadis riwayat Muslim).

SAF HADAPAN

Nabi SAW ada mengatakan:

“Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad).